Tuesday 2 June 2009

Pelancaran Dialog Bersama Dengan Persatuan Guru dan Ibu Bapa Mengenai dengan Pendidikan Pencegahan Rasuah Brunei Darussalam



Pendidikan Pencegahan Rasuah ini merupakan salah satu pendekatan yang diambil oleh BMR sebagai langkah awal untuk mendidik pelajar-pelajar tentang pentingnya Pendidikan Pencegahan Rasuah. Disamping itu juga, ianya merupakan usaha untuk menanam nilai-nilai murni kedalam diri mereka agar menjadi masayarakat yang berakhlak mulia dan dapat mempraktikan nilai-nilai tersebut dalam kehidupan seharian mereka nanti. Adalah diharapkan langkah-langkah ini akan dapat memberikan kesan positif terhadap pengawalan serta pencegahan rasuah pada masa yang akan datang.


Bagi menyalurkan nilai-nilai tersebut kepada pelajar-pelajar, ketika di sekolah, guru-guru adalah penyalur bagi nilai-nilai ini dengan fakta-fakta yang tepat dan betul. Manakala di rumah, ibu bapa atau penjaga pelajar-pelajar adalah merupakan pembimbing nilai-nilai murni ini kepada pelajar-pelajar tersebut secara sepenuh masa sehingga pelajar-pelajar tersebut akan menjadi orang yang berguna dan bakal menjadi pemimpin dimasa nanti.

Sehubungan dengan itu, adalah bersesuaian bagi BMR mengadakan Majlis Dialog Pendidikan Pencegahan Rasuah Bersama Dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru Sekolah dengan kerjasama Jabatan Perkembangan Kurikulum, Jabatan Sekolah-Sekolah, Bahagian Pendidikan Swasta Kementerian Pendidikan dan Jabatan Penjagian Islam, Kementerian Ugama. 


Saya ingin menghayati dan mengimbas balik petikan sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota  Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, sempena Majlis Pelancaran Pendidikan Pencegahan Rasuah Dalam Kurikulum Kebangsaan, bertempat di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antara Bangsa, Berakas, pada Hari Sabtu, 6 Zulhijah 1426/ 7 Januari 2006.

Petikan sabda antara lain berbunyi:


“Pendidikan pencegahan rasuah yang disemai dari awal lagi dikalangan penuntut merupakan strategi penting bagi membina dan melengkapi sebuah masyarakat yang bencikan rasuah. Generasi muda adalah bakal pemimpin akan datang. Seharusnya mereka ini dididik untuk memusuhi rasuah….”


Daripada petikan sabda tersebut, BMR komited dan meningkatkan lagi strategi dalam Pendidikan Pencegahan Rasuah dengan mempelbagaikan lagi kaedah pembelajaran disekolah-sekolah dan dipusat pengajian tinggi dinegara ini. Salah satu daripada inisiatif yang diambil oleh BMR ialah mengikuti sistem pembelajaran SPN21 dengan mengintegrasikan buku-buku Pendidikan Pencegahan Rasuah kepada “e format”  secara berperingkat-peringkat supaya pelajar-pelajar dapat memperolehinya secara “on line” melalui computer.  BMR akan membuat kajian semula dan mengemaskinikan isi kandungan pembelajaran tersebut mengikuti keadaan semasa. BMR juga akan sentiasa menyokong dan mengikuti Perkembangan SPN21 yang berjalan pada masa ini.


Sebagai salah satu langkah menuju ke arah kefahaman dan toleransi sifar terhadap rasuah, Biro ini telah membuka satu halaman web didalam Facebook. Dengan adanya Biro Mencegah Rasuah dalam Facebook ini, masyarakat umum akan dapat berinteraksi terus melalui papan discussion board atau pun member cadangan atau pandangan bagi memantapkan lagi usaha usaha BMR. Saya percaya dengan social networking site ini akan menambahkan lagi pendedahan masyarakat dalam aktiviti memerangi rasuah dan ini sedikit sebanyak akan menunjukkan kepada masyarakat umum dan antarabangsa yang kita di Negara Brunei Darussalam ini bersatu dalam memerangi gejala rasuah.


Dari segi pencapaian, Pendidikan Pencegahan Rasuah di Negara Brunei Darussalam telah pun menarik perhatian daripada negara-negara jiran. Diantara  lawatan-lawatan kerja dalam Pendidikan Pencegahan Rasuah yang pernah dibuat termasuk  lawatan daripada Michel Bonnieu, Senior Regional Legal Advisor, United Nations Office on Drug and Crime, lawatan daripada Allan Jones yang mewakili The Corruption and Crime Commission of Western Australia, lawatan daripada bekas Timbalan Pengerusi Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK) Indonesia dan lawatan daripada Ir Ahmad Jais, Timbalan Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia yang mana mereka-mereka ini telah datang ke Negara Brunei Darussalam untuk melihat dan mempelajari bagaimana Pendidikan Pencegahan Rasuah dilaksanakan.


Seperti yang telah diterangkan oleh Pengerusi Majlis tadi, tujuan Majlis Dialog Pendidikan Pencegahan Rasuah Bersama Dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru Sekolah ialah bagi mendapatkan maklum balas atau pandangan daripada ibu bapa atau penjaga pelajar-pelajar mengenai dengan projek Pendidikan Pencegahan Rasuah ini. Saya berharap ibu bapa yang hadir pada hari ini akan dapat memberikan buah fikiran atau pandangan yang positif mengenai dengan program Pendidikan Pencegahan Rasuah di sekolah-sekolah.      


No comments:

Post a Comment