Friday 1 May 2009

Tanggungjawab rakyat

Tidak dapat dinafikan tanggungjawab memerangi rasuah harus banyak dipikul oleh Kerajaan terutama sekali oleh Biro ini. Akan tetapi untuk mempastikan kejayaan di dalam usaha kita memerangi rasuah secara habis-habisan itu, rakyat dan sektor perniagaan juga patut sama-sama memikul tanggungjawab ini. Sebagai rakyat, kita juga adalah pengguna kepada perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh jabatan-jabatan dan agensi-agensi Kerajaan. Disini saya ingin menggariskan sedikit hak dan kuasa-kuasa biskita sebagai rakyat di negara ini untuk mempastikan tidak berlaku rasuah di negara ini.
1. Fahami hak-hak biskita. Biskita haruslah memahami hak-hak biskita dan juga keistemewaan biskita yang biskita berhak untuk mendapatkannya. Sebagai misalan biskita harus memahami daripada tekad pemedulian orang ramai (TPOR) berapa hari permohonan lesen biskita boleh disiapkan. Sebagai misalan yang lain juga biskita berhak untuk mendapatkan maklumat bagaimana untuk mendapatkan biasiswa untuk anak biskita untuk melanjutkan pelajaran diluar negeri dan keputusan akademik yang perlu dicapai. Dengan memahami hak-hak biskita ini, pemegang kuasa akan tahu yang beliau berhadapan dengan rakyat yang bukan mudah untuk dimanipulasikan ataupun 'ditumbuk rusuk' untuk mendapatkan suapan.
2. Kuasa biskita sebagai pengguna. Sebagai pengguna kepada perkhidmatan, biskita berhak untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik terutama sekali perkhidmatan-perkhidmatan yang dikenakan bayaran. Kuasa membayar inilah kuasa biskita sebagai pengguna supaya perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan sentiasa diperbaiki.
3. Galakan orang yang biskita pilih menjadi ketua untuk sama-sama memerangi rasuah. Di mana-mana biskita berada biskita akan berhadapan dengan ketua-ketua baik yang dipilih mahupun yang dilantik, seperti ketua kampung, penghulu, Yang Berhormat wakil Majlis Mesyuarat Negara, pengerusi persatuan ataupun pertubuhan dan sebagainya. Biskita mempunyai hak untuk mempastikan orang yang dipilih atau dilantik itu mengutamakan kejujuran dan amanah dan sama-sama mahu berusaha untuk membendung rasuah baik di dalam kesatuan ataupun pertubuhan atau kampung ataupun mukim yang mereka terajui.
4. Berikan sokongan kepada kesatuan ataupun pertubuhan yang menggalakan good governance. Badan-badan dan kesatuan-kesatuan seperti persatuan guru dan ibubapa, majlis perundingan kampung dan majlis takmir masjid antaralain mempunyai fungsi yang mengutamakan kejujuran dan badan badan seperti ini adalah berfungsi sebagai 'check and balance' kepada pemegang-pemegang kuasa dan amanah. Dengan adanya badan-badan seperti ini pemegang-pemegang kuasa akan sentiasa 'conscious' bahawa kuasa dan amanah yang mereka jalankan akan senantiasa di mata-matai oleh biskita.
5. Belajar untuk membuat aduan. Setiap jabatan diwajibkan untuk mengadakan peti-peti cadangan dan aduan. Biskita perlulah memahami tata susila untuk menghadapkan aduan. Aduan-aduan tersebut biarlah yang bertujuan untuk membuat pembaikan terhadap perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan dan bukannya untuk mencela pegawai-pegawai kerajaan.
6. Laporkan rasuah. Biskita mempunyai hak untuk melaporkan rasuah ke Biro ini. Malahan jika biskita ada di pinta rasuah oleh pegawai kerajaan adalah menjadi satu kesalahan jika biskita gagal untuk melaporkanya. Akan tetapi pastikan aduan tersebut adalah benar dan bukannya yang direka-reka ataupun untuk membuat fitnah kerana ianya adalah menjadi satu kesalahan jika aduan yang dibuat ke Biro ini direka dan tidak benar.
7. Jangan galakkan rasuah. Mungkin biskita mengatakan memberikan 'secawan kopi' (rasuah yang kecil) itu tidak mengapa terutama sekali jika biskita dapat perkhidmatan yang cepat dan menghindari 'red tape'. Akan tetapi rasuah kecil itu sama seperti sel kanser. Sewaktu kecil mungkin tidak mengapa akan tetapi jika dibiarkan ianya boleh menjadi besar dan berleluasa. Bila ini berlaku ianya akan memudaratkan semua pihak yang mana akhir sekali semua rakyat akan menderita. Lihat sajalah negara-negara disekeliling kita yang mempunyai masaalah untuk membasmi rasuah kerana ianya sudah berakar umbi sebagai adat resam mereka. Yang menderita adalah rakyat mereka sendiri!

No comments:

Post a Comment